ADAM Adli (duduk dua dari kanan) bersama-sama tetamu jemputan melancarkan buku Anwar Ibrahim Semangat Darah Muda dan Sebuah Himpunan Pengalaman Wilayah Matrikulasi di ABIM, Taman Cemerlang, Gombak. FOTO Amirudin Sahib.
ADAM Adli (duduk dua dari kanan) bersama-sama tetamu jemputan melancarkan buku Anwar Ibrahim Semangat Darah Muda dan Sebuah Himpunan Pengalaman Wilayah Matrikulasi di ABIM, Taman Cemerlang, Gombak. FOTO Amirudin Sahib.
Noor Atiqah Sulaiman


Gombak: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Press melancarkan semula buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda hasil tulisan sekumpulan belia mengenai perjuangan tokoh politik itu sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim berkata pelancaran semula buku berkenaan dilihat tepat pada masanya ketika masyarakat kini berdepan dengan cabaran dan konservatisme sempit sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berharap dengan adanya buku berkenaan ia mampu memberi pencerahan kepada masyarakat siapa Anwar yang sebenarnya sejak muda sehingga mengetuai kerajaan kini.

"Karya dalam buku ini dihasilkan secara kesedaran kolektif masyarakat, yang mengangkat tokoh mereka sebagai model, maka bagi saya tiada isu. Terbitnya buku ini pada hari ini, biarlah sampai ke generasi akan datang," katanya pada majlis pelancaran buku berkenaan di Dewan Sekretariat Abim, Gombak, di sini hari ini.

Sementara itu, penyunting buku berkenaan, Zairudin Hashim berkata penulisan buku itu adalah daripada pandangan rakyat Malaysia itu terhadap sosok yang dikenali sebagai Anwar Ibrahim.

Katanya, ia membabitkan 22 penulis pelbagai latar belakang yang menulis mengikut pandangan masing-masing terhadap Anwar.

"Buku ini bukannya berkonsepkan biografi tetapi adalah himpunan karya penulisan anak-anak muda yang ditulis secara santai tanpa sebarang bentuk naratif politik.

"Buku ini bukan dari kaca mata mana-mana ahli parti politik, sebaliknya mereka ini adalah yang lahir tahun 80-an serta membesar pada tahun 90-an atau 2000 dan apa mereka tahu mengenai Anwar.

"Ia bukan meminta orang menyokong Anwar atau Parti Keadilan Rakyat, tetapi untuk mereka yang tidak mengenali Anwar Ibrahim dan tidak mengetahui apa itu reformasi yang dibawa.

"Apa perjuangan yang dibawa, sumbangan Anwar kepada anak bangsa," katanya.

Zairudin berkata, penulisan ini sudah dikumpul sejak 2018 sebelum diterbitkan setahun kemudian dan berjaya dijual sebanyak 10,000 naskhah namun dengan permintaan yang tinggi, pihaknya melancarkan semula dengan 1,000 naskhah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 3:46 PM