SALAHUDDIN. FOTO arkib NSTP
SALAHUDDIN. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kini menggunakan singkatan KPDN berkuat kuasa 3 Disember lalu.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, penggunaan singkatan nama itu dipersetujui oleh Menteri Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Azman berkata, pemilihan singkatan nama itu bertepatan dengan peranan utama kementerian berkenaan yang bertanggungjawab dalam mengharmonikan ekonomi negara.

"Antara fungsi utama kementerian ini adalah sebagai peneraju dalam mengawal selia pembangunan ekosistem perdagangan domestik ke arah yang mampan, berdaya maju serta berdaya saing.

"Dalam hubungan ini, ekosistem perdagangan dalam negeri yang mampan akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan secara langsung akan memastikan kesejahteraan pengguna terutama dalam menangani agenda peningkatan kos sara hidup," katanya dalam surat yang bertarikh semalam.

Surat itu adalah untuk edaran kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian selain salinannya kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Azman berkata, visi, misi dan fungsi kementerian dikekalkan dan tiada sebarang pindaan.

Beliau berkata, ia berikutan visi, misi dan fungsi kementerian sedia ada selaras dengan fokus utama kerajaan pada masa kini yang membabitkan agenda merancakkan ekonomi negara dan menstabilkan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, semua urusan berkaitan kementerian itu disarankan mengguna pakai nama dan akronim baru berkenaan.

KPDN yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ditubuhkan pada 27 Oktober 1990, sebelum nama kementerian itu bertukar kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 2009 apabila fungsi dan peranannya diperluaskan untuk mengawal selia sektor francais.

Nama kementerian itu kembali kepada KPDNHEP pada 2018 selepas pertukaran tampuk pentadbiran persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 3:08 PM