Mohd Amin Jalil


Seremban: Sebanyak 700 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Rentas Sempadan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan yang diadakan selama tiga hari bermula kelmarin hingga hari ini.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, berkata 202 notis membabitkan kes membawa lebih muatan, gagal mematuhi syarat lampu isyarat merah (164), tidak memakai tali pinggang keledar (18), tidak memakai topi keledar sebanyak 85 kes.

Katanya, kesalahan lain yang dilakukan pengguna jalan raya termasuk menggunakan telefon bimbit (7) dan memotong garisan sebanyak 171 kes.

"Selain mengadakan rondaan dan sekatan jalan raya, kami juga menggunakan dron bagi mengesan kesalahan pengguna yang membabitkan potong Q dan juga langgar lampu isyarat merah.

"Dalam operasi ini juga, sebanyak 3,743 kenderaan diperiksa dan 820 kenderaan diambil tindakan.

"Sebanyak 1,380 jenis kesalahan dikesan membabitkan pelesenan pemandu sebanyak 239 kes, pelesenan kenderaan (275), tujuh kesalahan utama (445), barangan (208), kesalahan membabitkan teknikal (196) dan lain-lain kesalahan sebanyak 17 kes," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Op Rentas Sempadan Peringkat Negeri Sembilan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Seremban-Port Dickson di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff dan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan.

Turut terbabit dalam operasi bersepadu itu termasuk Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PLUS dengan jumlah keseluruhan anggota seramai 79 orang.

"Kes tiada lesen ini kebanyakannya membabitkan umur bawah 17 tahun. Saya nasihatkan ibu bapa untuk pastikan anak-anak tidak membawa kenderaan tanpa lesen.

"Sekiranya kesalahan dikesan, bukan sahaja anak dikenakan tindakan sebaliknya pemilik kenderaan itu iaitu kemungkinan ibu bapa atau ahli keluarga," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai sembilan individu warga asing ditahan membabitkan dua orang rakyat Pakistan, Indonesia (6) dan satu warga India.

"Manakala AADK pula berjaya menahan dua individu berusia 19 dan 42 tahun yang disyaki positif dadah jenis methamphetamine.

"Sementara Polis Trafik Negeri Sembilan pula mengeluarkan 21 saman selepas memeriksa 115 kenderaan," katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan untuk memastikan keadaan kenderaan dalam keadaan baik ketika berada di atas jalan raya.

Menurutnya, pihaknya perlu memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi undang-undang sama ada dari segi pemanduan, lesen dan dan sebagainya.

"Kami tidak berkompromi dalam hal ini kerana ia membabitkan kepentingan dan keselamatan semua pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 2:56 PM
HANIF Yusabra Yusuf (kanan) bersama pegawai JPJ memeriksa kenderaan perdagangan dalam Op Rentas Sempadan di Kawasan R&R Seremban-Port Dickson hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
HANIF Yusabra Yusuf (kanan) bersama pegawai JPJ memeriksa kenderaan perdagangan dalam Op Rentas Sempadan di Kawasan R&R Seremban-Port Dickson hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.