KEMALANGAN membabitkan lima kenderaan di bahu jalan Jalan Sultan Yahya Petra. FOTO Ihsan PDRM
KEMALANGAN membabitkan lima kenderaan di bahu jalan Jalan Sultan Yahya Petra. FOTO Ihsan PDRM
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Akibat terlelap, seorang lelaki gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas dan merempuh sebuah kereta Proton Iswara yang diparkir di bahu jalan di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, semalam.

Rempuhan itu menyebabkan tiga kenderaan lain iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, Honda City dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Xpander yang diparkir di lokasi sama turut rosak.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kemalangan berlaku jam 2.25 petang membabitkan lima kenderaan dan tujuh mangsa dengan dua daripadanya cedera ringan.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Persona dipandu lelaki berusia 21 tahun dari persimpangan Taman Maju menghala persimpangan Wakaf Siku terbabas ke kiri jalan lalu merempuh belakang Proton Iswara.

"Akibat rempuhan itu, Proton Iswara dipandu wanita berusia 32 tahun menggelungsur ke hadapan dan melanggar tiga kenderaan di hadapannya.

"Empat pemandu tidak mengalami kecederaan, hanya pemandu Proton Persona cedera di bahagian hidung dan mendapatkan rawatan di zon kuning Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala penumpang hadapan Proton Iswara luka kecil dirawat sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, punca kemalangan itu akibat kecuaian pemandu Proton Persona yang dipercayai terlelap dan dan gagal mengawal kenderaan dipandunya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 2:15 PM