TANGKAP layar kamera papan pemuka yang memaparkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dipercayai Mercedes A180 yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans.
TANGKAP layar kamera papan pemuka yang memaparkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dipercayai Mercedes A180 yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans.
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Polis meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung insiden sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang didakwa tidak memberi laluan kepada ambulans, tampil menyalurkan maklumat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

"Belum ada individu yang membuat laporan polis lagi. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh tampil supaya siasatan dapat dijalankan," katanya dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dipercayai Mercedes A180 yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans.

Dalam video berdurasi 54 saat itu, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.37 petang kelmarin, di bandar raya ini menuju ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Ambulans sebuah pusat perubatan swasta itu dilihat ada membuka lampu siren dan lampu isyarat ke kanan untuk memasuki laluan, bagaimanapun kenderaan bernombor pendaftaran Singapura itu tetap bergerak ke hadapan merapati kenderaan di hadapannya.

Kenderaan itu kemudian menekan brek dan tidak langsung berganjak walaupun pemandu ambulans sudah mengangkat tangan meminta laluan.

Pada masa sama, Raub menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan termasuk memberi laluan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas kecemasan seperti ambulans, bomba atau polis.

Katanya, perbuatan tidak memberi laluan kepada ambulans boleh menyebabkan siasatan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 1:57 PM