GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang terbabit dalam salahguna kuasa atau salah laku, berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, berkata pihaknya memandang serius perkara itu demi keadilan semua pihak.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan penjawat awam di Selangor khususnya yang berkhidmat di unit pengurusan dan perolehan terbabit dalam proses membuat keputusan supaya fokus kepada tugasan, selain menerapkan budaya dan nilai integriti tinggi.

"Mereka yang boleh memilih dan mencadangkan individu, syarikat atau sebut harga mesti telus dan tidak terbabit dalam gejala rasuah dan salah guna kuasa.

"Nilai dan integriti semasa bertugas penting untuk memantapkan lagi perkhidmatan awam di negara ini terutama di Selangor," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Integriti: Penguatkuasa Berintegriti Memperkasa Organisasi Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat.

Mengulas mengenai seminar itu, Alias berkata, program itu bertujuan memastikan penjawat awam mengamalkan nilai integriti tinggi supaya penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dihindarkan.

"Seminar anjuran MPKS ini akan memartabatkan lagi perkhidmatan awam khususnya bahagian penguatkuasa di pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor.

"Ia adalah usaha yang baik sekali gus mendidik dengan membudayakan nilai-nilai integriti sepanjang melaksanakan tugasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 1:36 PM