LEE Ting Han. FOTO BERNAMA
LEE Ting Han. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Iskandar Puteri: Penubuhan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (Jetco) di Singapura pada tahun ini membuahkan hasil apabila turut menyumbang dalam menarik pelaburan langsung asing ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, ia turut dibantu melalui kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Invest Johor.

Katanya, menerusi Jetco, 15 siri perbincangan dengan pelbagai agensi di Singapura sudah diadakan dan tiga siri lawatan suai kenal membabitkan ahli perniagaan dari Singapura ke Johor turut dianjurkan.

Setakat Jun lalu, katanya, RM6.668 bilion jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan sudah direkodkan dan RM5.65 bilion daripadanya adalah pelaburan langsung asing (FDI).

"Daripada RM5.65 bilion itu, RM3.968 adalah pelaburan dari Singapura dengan kebanyakannya dalam elektrik dan elektronik (E&E) serta peralatan perubatan.

"Saya percaya, ini antara kejayaan Jetco dan pada tahun depan, kerajaan negeri akan lebih giat dalam menarik pelaburan dari luar termasuk Singapura," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Lee (BN-Paloh) menjawab soalan tambahan R Vidyananthan (BN-Kahang) mengenai keberkesanan Jetco dalam membawa pelaburan dari Singapura ke Johor dan jumlah pelaburan yang sudah dibawa oleh agensi itu.

Ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Benut), beliau berkata, agensi itu sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama menerusi usaha sama pintar bersama agensi-agensi berkaitan dari Singapura.

Selain itu, katanya, Jetco juga sudah menyertai tiga ekspo berkaitan perdagangan dan pelancongan di Singapura.

"Semua usaha yang sudah dilaksanakan ini dilihat dapat memberi impak yang amat positif dan memberangsangkan," kata Lee.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Johor itu ingin tahu mengenai inisiatif yang bakal dilaksanakan Jetco di republik itu terutamanya dalam melipatgandakan peluang kerjasama Johor-Singapura dalam bidang pembangunan mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 12:30 PM