Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) bercadang memperkenalkan sistem kupon kepada golongan B40 serta peniaga kecil dan sederhana untuk membeli minyak masak peket bersubsidi.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bagaimanapun cadangan itu akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), minggu depan.

Katanya, jika ia dipersetujui, pihaknya akan meneliti dan mengemaskini data golongan yang layak untuk menikmati sistem kupon berkenaan.

"Melalui seisi libat urus dengan pemain industri minyak masak dan wakil persatuan pengilang, hari ini mereka turut bersetuju untuk mengekalkan 60,000 tan metrik minyak masak sebulan untuk peket bersubsidi satu kilogram.

"Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah membentangkan cadangan harga dua peringkat membabitkan harga jualan tempatan dan luar negara termasuk polisi dan mekanisma pelaksanaannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Menteri bersama MPOB dan Pemain Industri Minyak Masak di sini, hari ini yang turut disertai Ketua Setiausaha KPDNKSH Datuk Azman Mohd Yusof.

Salahuddin berkata, kementerian juga sedia maklum menegnai isu bekalan minyak masak peket yang masih berkurangan di pasaran termasuk di kawasan pedalaman.

Katanya, isu itu sedang diteliti sama ada kekurangan berlaku disebabkan ketirisan atau disalahgunakan pihak tertentu.

Dalam pada itu, beliau berkata pemain industri memberi input positif terhadap impak harga siling bergerak, minyak masak bersubsidi dan minyak masak terpakai terhadap bekalan di pasaran.

"Ia sangat berguna dan akan dicerakin dengan lebih terperinci sebelum sesuatu keputusan dan polisi baru dibangunkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 5:48 PM