Gambar hiasan
Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemilik akaun TikTok yang memuat naik satu video berunsur fitnah terhadap anggota polis trafik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, polis mengesan rakaman video berkenaan yang dimuat naik oleh pengguna menggunakan akaun @goodmorninglim pada 6.30 petang, semalam.

"Rakaman video itu memaparkan seorang anggota polis yang sedang bertugas Operasi Penguatkuasaan Lalu Lintas (Menggunakan Alat Komunikasi Semasa Memandu) berhampiran persimpangan lampu isyarat PJS 3/44.

"Video itu turut disertakan kapsyen '05/12 Look Got People Here Cari Makan' dan emoji ketawa serta karung wang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbuatan memuatnaik rakaman itu mendorong masyarakat memandang serong terhadap tugas anggota selaku penjawat awam dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menasihati masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 4:33 PM