Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Arahan Kerajaan Persekutuan untuk syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memperuntukkan RM10 juta kepada pesawah miskin pada bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan, bukan bertujuan merobohkan empayar perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dilakukan untuk kepentingan rakyat dan pesawah miskin, termasuk di Kedah.

Anwar berkata, langkah yang diambilnya itu serta Kementerian Kewangan adalah untuk mencari jalan penyelesaian.

Katanya, Syed Mokhtar sendiri bersetuju dengan mudah.

"Saya ucap terima kasih kepada dia (Syed Mokhtar) tetapi saya kata, untuk menjamin masa depan pesawah miskin, saya ambil langkah untuk berunding dengan dia dan cuba bantu," katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Anwar berkata, kelulusan yang dibuatnya itu dibuat selepas berunding dengan Syed Mokhtar.

Beliau berkata, Syed Mokhtar boleh membuat keuntungan melalui perniagaannya dalam sektor lain termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Kata Perdana Menteri, beliau memberi jaminan untuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan mencari sebarang masalah dihadapi di mana-mana pelabuhan di Johor.

Justeru, Anwar mengingatkan semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu monopoli import beras yang dikuasai Syed Mokhtar.

Pada masa sama, Anwar berkata, pihaknya akan berunding dengan Syed Mokhtar mengenai cara untuk BERNAS boleh memberi jaminan keselesaan dan keadilan kepada pesawah padi yang miskin.

Anwar sebelum ini membidas tindakan kerajaan ketika itu yang melanjutkan tempoh konsesi BERNAS yang mempunyai kuasa untuk memonopoli import beras.

"Saya tak faham mengapa ini menjadi masalah. Sudah berpuluh tahun dah BERNAS ini, ini kali pertama saya kata 'enough is enough'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 1:38 PM