RAFIZI ketika ditemui media pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai. FOTO Danial Saad.
RAFIZI ketika ditemui media pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai. FOTO Danial Saad.
Noorazura Abdul Rahman


Padang Serai: Perjanjian penggabungan yang diusahakan bersama semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan diyakini akan membentuk sebuah kerajaan yang stabil dengan majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perjanjian itu akan mempunyai persamaan dari segi dasar yang bakal mengukuhkan lagi gabungan Kerajaan Perpaduan.

Malah katanya, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bersedia untuk melaksanakan program terbaik yang dirancang menerusi rundingan bersama.

"Perjanjian ini dijangka ditandatangani pada minggu depan yang mana rakyat akan mempunyai pemahaman yang lebih jelas mengenai perancangan bersama parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Sudah tentu rakyat mahu tahu apakah yang mampu dilakukan oleh parti yang sudah bersengketa lebih 20 tahun, jadi perjanjian ini akan mengekalkan kerajaan selama satu penggal dan tidak akan dibubarkan," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) Padang Serai di Kampung Tunku Putra, di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri; Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merangkap Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, kerajaan kini mahu memberi fokus untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat apatah lagi ketika dunia dijangka berdepan kemelesetan ekonomi tahun depan.

Justeru katanya, semua pihak perlu menolak politik yang boleh memecah belahkan kepimpinan parti agar fokus terhadap agenda rakyat tidak terganggu.

"Kita nak elakkan supaya berikan ruang lompong yang mewujudkan kes culik Ahli Parlimen untuk menyokong satu-satu pihak. Jadi perjanjian ini meletakkan risiko yang rendah dalam soal penculikan Ahli parlimen ini.

"Kita ada dasar yang sama dan lebih fokus bagi menyelesaikan permasalahan rakyat. Jadi lebih baik Perikatan Nasional (PN) berhenti berangan. Nak culik (Ahli Parlimen), atau hendak jatuhkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 10:04 AM