ANGGOTA polis memeriksa mayat wanita yang ditemui mati terjatuh dari tingkat 12, sebuah hotel di Taman Melaka Raya. FOTO Ihsan Polis.
ANGGOTA polis memeriksa mayat wanita yang ditemui mati terjatuh dari tingkat 12, sebuah hotel di Taman Melaka Raya. FOTO Ihsan Polis.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Wanita ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah hotel di Taman Melaka Raya, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, mayat mangsa ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran tertiarap dan berlumuran darah di kepala sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Banda Hilir selepas menerima laporan pada 10.52 pagi.

Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak hotel mendapati mangsa bukan tetamu, sebaliknya datang ke premis itu kira-kira jam 10.23 pagi.

"Si mati kemudian naik ke tingkat 12 dan selepas lima minit, dia dipercayai terjun dari koridor laluan ke bilik hotel.

"Siasatan awal mendapati si mati adalah seorang ibu tunggal beralamat yang hilang pekerjaan sebagai penjual produk kesihatan selepas negara dilanda Covid-19 dan dipercayai mempunyai masalah kewangan," katanya dalam kenyataan.

Christopher berkata, pegawai penyiasat bersama jurufoto yang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.

"Mayat si mati ditemui berpakaian lengkap dalam keadaan tertiarap di atas jalan dan berlumuran darah," katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 8:45 AM