EWON (kiri) mengimbas perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas sebagai Menteri di Kuskop hari ini. FOTO Samadi Ahmad.
EWON (kiri) mengimbas perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas sebagai Menteri di Kuskop hari ini. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Program memperkasa koperasi, perusahaan kecil dan sederhana serta perusahaan digital teknologi maklumat di Sabah dan Sarawak menjadi antara fokus utama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Datuk Ewon Benedick.

Ewon berkata, perkara itu antara tumpuan utama dalam Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurutnya, ia menjadi sebahagian dari perjanjian Malaysia dan kementerian serta termasuk dalam agenda yang dinyatakan Perdana Menteri.

Katanya, selepas majlis mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara Sabtu lalu beliau menerima nota kementerian dari Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Suriani Ahmad.

"Saya perlu mendalaminya terlebih dulu sebelum dikongsikan dengan pengamal media mengenai misi dan visi menerajui kementerian ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas sebagai Menteri di Kuskop hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kuskop, DatukZamri Salleh.

Ewon berkata, beliau juga akan mendengar taklimat berkenaan Kuskop terlebih dulu dan selepas itu akan mengadakan kerjasama dengan media.

Menurutnya, media adalah rakan strategik kementerian dan pimpinan baharu Kerajaan Perpaduan dalam membantu menyampaikan maklumat serta dasar baharu yang akan diperkenalkan membabitkan pihak berkepentingan Kuskop.

Beliau yang juga ahli Parlimen Penampang berkata, sudah tentu ada perkara baharu yang ingin diperkenalkan demi kesejahteraan rakyat namun perlu mendengar pembentangan dari kementerian dan agensi terbabit sebelum melaksanakannya.

"Saya percaya sebahagian daripada rakyat inginkan kerajaan baharu laksanakan dasar dan pengisian yang ada di kementerian ini dan saya ingin melihat sejauh mana kita agresif dalam mengangkat peranan kementerian membantu SME, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 5:23 PM