DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Aizuddin Saad.
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Aizuddin Saad.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hasil kerjasama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu menangani cabaran mendatang demi kepentingan negara serta rakyat.

Pengerusi BN itu berkata, ia tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan.

"Kita yakin Kerajaan Perpaduan yang terbentuk ini mampu menangani cabaran perlu ditempuhi demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya.

"Namun dengan syarat semua pihak haruslah menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.

"Usah diganggu ketenteraman dan perpaduan masyarakat serta usaha kerajaan untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara selepas ini," katanya dalam kenyataan malam ini.

Ahmad Zahid diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau antara enam ahli parlimen dari BN dilantik sebagai jemaah menteri yang diumumkan Anwar menerusi Pengumuman Khas Kabinet Kerajaan Baharu yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Anwar atas kepercayaan kepadanya dan rakan dalam BN untuk berada dalam Kabinet.

"Tahniah diucapkan kepada semua yang terpilih dan semoga gandingan semua pihak ini akan menghasilkan kejayaan luar biasa kepada negara.

"Kita hentikan ketidakstabilan politik yang banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 12:14 AM