GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Selangor merekodkan purata enam kematian akibat Covid-19 setiap minggu bermula Januari sehingga 19 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam negeri, Dr Siti Mariah Mahmud bagaimanapun berkata, situasi Covid-19 di Selangor sepanjang tahun ini masih terkawal.

"Untuk makluman ahli-ahli yang berhormat, purata kes kematian di Selangor akibat Covid-19 adalah enam kes seminggu.

"Manakala 11 kematian dicatatkan pada minggu epid 46 (13 November) berakhir 19 November lalu.

"Daripada aspek kadar kematian secara keseluruhan pula, Selangor mencatatkan 10,911 iaitu 0.7 peratus Case-Fatality-Rate sejak Covid-19 bermula. Tahun ini sehingga minggu epid 46, 939 kematian direkodkan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan mulut pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor di sini, hari ini.

Secara purata, katanya, kes Covid-19 yang didaftarkan di Selangor adalah sekitar 1,000 hingga 2,000 kes sehari bermula minggu epid 35 sehingga minggu epid 46.

"Mengikut kategori kes yang didaftarkan, majoriti iaitu 95 peratus adalah kes kategori 2 manakala 4.5 peratus lagi adalah dari kategori 3, 4 dan 5.

"Bagaimanapun, untuk 2022, sejak minggu Epid ke-3, kadar CFR ini menurun ke angka 0.1 peratus.

"Data-data ini menunjukkan tahap kawalan bagi Covid-19 di Selangor kini adalah baik dan memuaskan," katanya.

Dr Siti Mariah berkata, antara faktor menyumbang kepada keadaan semasa adalah kadar vaksinasi Covid-19 termasuk dos penggalak yang tinggi iaitu melebihi 90 peratus daripada jumlah penduduk Selangor.

"Ini termasuk fasiliti kesihatan awam yang mampu menampung kes-kes berkategori 3, 4 dan 5.

"Aktiviti pendidikan kesihatan yang berterusan yang dijalankan bagi mengingatkan orang awam tentang TRIIS (Test, Report, Inform, Isolate, Seek) dan kepentingan menjaga kesihatan kendiri turut banyak membantu," katanya.

Namun begitu, katanya, aktiviti promosi bagi menggalakkan masyarakat awam untuk mengambil vaksin penggalak kedua perlulah diteruskan.

"Ia terutamanya membabitkan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit kronik dan ibu-ibu mengandung.

"Ini kerana, kemunculan varian baru sub-omicron XBB menunjukkan peningkatan terhadap kadar kebolehjangkitan, walaupun kadar kematian disebabkan oleh varian baru ini masih kekal rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 12:04 PM