MICHAEL Tay Chee Boon. FOTO Ihsan pembaca.
MICHAEL Tay Chee Boon. FOTO Ihsan pembaca.
Omar Ahmad


Johor Bahru : Pembentukan kabinet di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melambangkan perpaduan di kalangan pelbagai kaum negara ini.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, perpaduan adalah antara perkara utama yang perlu diberi tumpuan.

Katanya ia selaras dengan nama kerajaan yang menyatukan beberapa parti politik atas dasar perpaduan.

"Saya lihat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), terdapat sedikit sebanyak isu perkauman yang timbul, ia amat membimbangkan kerana kita hidup bersama sebagai sebuah keluarga.

"Saya harap Perdana Menteri kita ada semangat yang kuat membangunkan semua kaum dalam negara.

"Anwar juga perlu memilih barisan kabinet yang taat setia dengannya bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan, "katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Barisan Nasional (BN) menerusi Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan menyokong usul undi percaya kepada Perdana Menteri supaya keabsahan jawatan yang dipegang Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dimuktamadkan.

Ahmad Zahid juga berkata, ia bagi mendiamkan pihak yang cuba mempertikaikan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Katanya walaupun ada pihak mengatakan langkah itu berisiko, namun ia adalah proses demokrasi yang perlu dilalui dan BN akan terus menyokong sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dalam pembentukan kerajaan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 7:09 PM