Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Pas menyifatkan kerajaan baharu yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya kerajaan perpaduan, sebaliknya kerajaan campuran.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ini kerana kerajaan perpaduan perlu membabitkan semua parti.

Beliau turut menegaskan, Perikatan Nasional (PN) tidak sesekali menyesal dengan keputusan parti yang tidak menyertai kerajaan baharu itu walaupun memiliki kerusi yang banyak.

"Kita perlu hormat kepada parti utama, kita lihat rakyat sudah memberi mandat kepada PN, malah Pas saja menang 49 kerusi yang tertinggi. Bagaimana pun, apa yang rakyat nak tidak ada dalam kerajaan.

"Tetapi, apa yang penting bagi kita ialah untuk terima keputusan yang dibuat dan kami akan turun sebagai satu kumpulan yang teguh untuk bagi pandangan terbaik bagi kebaikan seluruh rakyat," katanya ketika ditemui di Majlis Kesyukuran Pas Kubang Kerian, di Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PN juga yakin dengan kepakaran yang ada untuk menjadi pembangkang bagi memantau polisi kerajaan serta bertindak sebagai 'check and balance' kepada kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH).

"Tambahan pula, kita kini mempunyai jumlah kerusi yang besar selain mampu menjadi pembangkang yang konservatif dalam kepimpinan negara.

"Kita akan memantau setiap satu komitmen dan manifesto kerajaan khususnya sewaktu yang dijanjikan ketika berkempen termasuk untuk mengecilkan kabinet.

"Sesuatu yang mengejutkan apabila awalnya dia tolak 'penyamun', tetapi tiba-tiba berpakat dengan 'penyamun', malah semua orang tahu ucapannya sering kali menghentam golongan yang dianggap makan rasuah dan melakukan penyelewengan, tetapi bagaimana mereka boleh bekerjasama," katanya.

Menurutnya, sebagai pembangkang pihaknya juga akan melihat sejauh mana beliau (Anwar) dapat melaksanakan apa yang beliau dijanjikan sepanjang berkempen.

Katanya, 'orang baik' dan 'orang jahat' tidak boleh duduk bersama tetapi pihaknya menerima keputusan pembentukan kerajaan hari ini selain bersedia menjadi pembangkang yang membina.

TUAN Ibrahim, (kanan) beramah mesra dengan tetamu di Majlis Kesyukuran Pas Kubang Kerian, di Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa.
TUAN Ibrahim, (kanan) beramah mesra dengan tetamu di Majlis Kesyukuran Pas Kubang Kerian, di Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 4:45 PM