Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan menjadi pambangkang yang membina di Pahang selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung sebagai sebuah kerajaan di negeri itu.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan akan dilakukan di peringkat kerajaan negeri selain berusaha memberi idea terbaik bagi kemajuan dan pembangunan di Pahang.

Menurutnya, pihaknya juga bersedia memberi teguran membina dan dalam masa yang sama mengharapkan setiap keputusan yang dibuat kerajaan negeri dapat memberi momentum terbaik kepada negeri itu.

"Sebelum keputusan gabungan kerajaan negeri ini dibuat, saya beberapa kali berunding dengan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk cari jalan penyelesaian kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang masih tergantung dengan PN memenangi 17 kerusi, BN dengan 16 kerusi serta PH, lapan kerusi.

"Sebelum ini, kita (PN) mencadangkan beliau sebagai Menteri Besar melalui muafakat antara PN dan BN dengan pembahagian jawatan exco yang sama rata, namun BN membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH.

"Ada cadangan untuk mengadakan penyatuan tetapi pihak kami menolak selepas hanya ditawarkan satu kerusi exco daripada 10 kerusi yang ada di negeri ini.

"Kami kemudiannya memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan pemangku Raja Pahang tentang pendirian BN selain pihak istana turut memaklumkan bahawa sudah menerima cadangan BN akan bersama PH di Pahang," katanya ketika ditemui di Majlis Kesyukuran Pas Kubang Kerian di Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akur dengan gabungan berkenaan dan PN berjanji menjadi pembangkang yang konstruktif di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 4:04 PM