Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yakin sasaran RM240 juta kutipan zakat dapat dicapai tahun ini.

Yang Dipertuanya Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, keyakinan itu berdasarkan perolehan yang sudah diterima setakat ini melebihi RM170 juta daripada pelbagai individu dan syarikat.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini pembayaran zakat diterima lebih banyak menjelang akhir tahun iaitu pada November dan Disember.

"Tahun lalu, kita mengutip RM205 juta dan kita yakin kutipan zakat mampu meningkat kepada 15 peratus tahun ini, kerana hanya memerlukan RM70 juta sahaja lagi.

"Hasil perolehan zakat ini juga sudah diagihkan kepada golongan asnaf di seluruh negeri dalam pelbagai bentuk bantuan seperti wang tunai dan barangan," katanya yang ditemui selepas merasmikan Kursus Perdana dan Bantuan Zakat Ikhlas dengan kerjasama ejen zakat Maidam, Amcare Agency di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Amcare Agency, Datuk Mohammad Zahari Harun.

Shaikh Harun berkata, lebih RM40 juta diperuntukkan untuk bantuan persekolahan dan pendidikan dengan anak Terengganu yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah diberikan RM1,000, manakala RM800 untuk penuntut diploma.

"Kita juga bercadang memberi komputer riba kepada anak golongan miskin, selain RM500 kepada pelajar yang diterima masuk ke sekolah berasrama penuh," katanya.

Sementara itu, Mohammad Zahari berkata, kursus dianjurkan untuk panduan buat 300 jemaah umrah kumpulan pertama yang berdaftar dengan Amcare.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 2:01 PM
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail (Kanan) melawat pameran sempena Kursus Perdana dan Bantuan Zakat Ikhlas dengan kerjasama ejen zakat MAIDAM, Amcare Agency di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail (Kanan) melawat pameran sempena Kursus Perdana dan Bantuan Zakat Ikhlas dengan kerjasama ejen zakat MAIDAM, Amcare Agency di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK