GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Sebanyak 339 laporan polis direkodkan Polis Johor sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula 4 November hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, Kota Tinggi menjadi daerah yang menerima laporan polis terbanyak sepanjang tempoh itu iaitu sebanyak 78, diikuti Johor Bahru Utara (58), Kluang, (30), Iskandar Puteri (30) dan Batu Pahat (25).

Beliau berkata, daripada jumlah laporan polis itu, sebanyak 30 kertas siasatan dibuka.

"Daerah lain seperti Pontian menerima laporan polis sebanyak 24, Muar (20), Segamat (17) , Johor Bahru Selatan (16), Seri Alam (12), Kulai (11), Tangkak (11) dan Mersing (7).

"Selain itu, lapan kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tujuh kes Kanun Keseksaan dan Akta Bahan Letupan 1957 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes paling tinggi yang disiasat ialah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu sebanyak 15 kes.

Katanya, ia adalah atas kesalahan melakukan perbuatan khianat terhadap bendera dan poster calon yang bertanding.

Pada masa sama, katanya, sebanyak enam tangkapan dibuat terdiri daripada enam lelaki warga tempatan.

"27 kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya mendapati proses mengundi pada PRU-15 kali ini berlangsung dengan lancar dan tiada insiden dan perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 3:37 PM