BOMBA memindahkan lelaki OKU berkenaan. FOTO
BOMBA memindahkan lelaki OKU berkenaan. FOTO
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Lelaki warga emas yang menghidap angin ahmar diselamatkan bomba selepas kediamannya di Jalan Jasa Merdeka, 34, Taman Datuk Tamby Chik Karim, Batu Berendam, di sini, dinaiki air.

Komander Operasi, Mohd Amir Hamid dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian daripada orang awam, pada 4.50 pagi,

Beliau berkata, seramai 11 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti Hilux PGC MTL ke tempat kejadian.

"Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 73 tahun terlantar di katil akibat angin ahmar. Rumahnya digenangi air setinggi 0.5 meter.

"Bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan menggunakan satu unit pengusung untuk memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Japerun (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun) Kesidang," katanya.

Katanya, operasi selesai jam 6.02 pagi.

Sementara itu, penduduk taman itu, Mohd Tuah Ismail, 44, berkata, dia menghubungi bomba untuk bantuan selepas mendapati kediaman warga emas itu mula dinaiki air.

Katanya, mangsa yang tinggal bersama isteri dan anak perempuan tidak mampu bergerak dan terlantar di katil.

"Saya bimbang mangsa terperangkap di rumah jika air naik mendadak," katanya dihubungi di sini.

Katanya, setakat jam 8 pagi tadi, dia menerima maklumat sekurang-kurangnya 30 rumah di kawasan rendah dan berdekatan sungai di taman itu mula dinaiki air susulan hujan lebat malam tadi dan trend air menunjukkan peningkatan.

Sementara itu, berdasarkan statistik semasa dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, setakat jam 8 pagi ini, tiga PPS dibuka di negeri ini bagi menempatkan seramai 66 mangsa daripada 21 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 10:11 AM