MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Ejen hartanah maut dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan ketika melintas jalan di Jalan Cheras menghala Kajang berdekatan sebuah pusat beli-belah di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, Kaunter Aduan Trafik Kuala Lumpur menerima maklumat kejadian itu pada 2.45 pagi.

"Sepasukan anggota trafik ke lokasi dan hasil siasatan awal mendapati mangsa melintas jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang belum dapat dikenal pasti.

"Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zam Halim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohamad Nor Izlan Mohd Rafiee di talian 010-2707997 atau Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20719999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 8:07 PM