Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri Kedah membentangkan Bajet 2023 berjumlah RM1.059 bilion dengan jangkaan defisit 14.17 peratus atau RM104.12 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus berjumlah RM839.12 juta dengan RM104.04 daripada jumlah itu adalah sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

"Di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan peruntukan adalah seperti berikut iaitu Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM89.73 juta dan Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM749.39 juta.

"Anggaran perbelanjaan 2023 adalah meningkat sebanyak RM8.9 juta atau peningkatan 1.07 peratus berbanding 2022.

"Kenaikan pada perbelanjaan ini sebagai merealisasikan teras bajet dan perancangan yang telah dibuat," katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2023 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya mencadangkan peruntukan bagi Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM220 juta untuk anggaran perbelanjaan pembangunan.

"Bajet 2023 juga mencadangkan Anggaran Pembangunan Hutan berjumlah RM8.9 juta dengan Terimaan Hasil daripada Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dijangkakan berjumlah RM4.5 juta.

"Kutipan Pembangunan Hutan dan terimaan daripada Pemberian 'Ecological Fiscal Transfer For Biodiversity Conservation (EFT)' pula berjumlah RM4.4 juta," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kedah akan memfokuskan kepada tiga strategi utama iaitu memulihkan dan mencergaskan pertumbuhan ekonomi domestik, meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat dan mengoptimakan teknologi dan peningkatan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Bagi anggaran hasil 2023 pula, kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM735 juta dan daripada jumlah itu, hasil cukai adalah penyumbang terbesar sebanyak RM346.95 juta atau 47.2 peratus.

"Hasil kedua tertinggi adalah daripada Hasil Bukan Cukai menyumbang 30.33 peratus atau RM222.92 juta. Terimaan Bukan Hasil pula adalah berjumlah RM165.13 juta atau 22.47 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 12:38 PM