TAN Sri Noh Omar. FOTO BERNAMA
TAN Sri Noh Omar. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menambah peruntukan RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) pada tahun hadapan.

Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar berkata SPOT diumumkan pada Ogos lalu dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang dijangka boleh memanfaatkan 1,000 usahawan atas talian bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"Kita lihat perniagaan dalam talian mendapat sambutan serta membabitkan ramai usahawan maka Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) memperkenalkan SPOT yang mana di bawah skim ini pada mulanya kita memperuntukkan RM10 juta sahaja.

"Bagaimanapun, pada tahun hadapan, Insya-Allah kita tambah peruntukan kepada RM50 juta," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Keusahawanan Tekun Nasional Parlimen Shah Alam, Kota Raja, Kapar dan Klang di sini, hari ini.

Noh berkata, sehingga kini sebanyak 253 permohonan SPOT diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM1.898 juta.

Katanya, SPOT juga menawarkan kadar faedah yang rendah iaitu tiga peratus berbanding kebiasaan skim pinjaman yang menetapkan kadar faedah sekitar empat peratus.

"Kita nak bantu usahawan, peniaga dalam talian dan skim ini adalah salah satu yang mereka boleh pohon," katanya.

KUSKOP dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa SPOT terbuka kepada usahawan informal dan mikro.

Usahawan yang layak memohon adalah yang berusia 18 hingga 65 tahun dengan nilai pembiayaan dari RM1,000 sehingga RM10,000.

Permohonan SPOT mula dibuka pada 20 Ogos lalu melalui Pejabat Cawangan TEKUN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 5:02 PM