JAILANI dan Mohamed Naguib Farhan ketika berada di hadapan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching. FOTO Ihsan pembaca
JAILANI dan Mohamed Naguib Farhan ketika berada di hadapan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching. FOTO Ihsan pembaca
Ahmad Hasbi

Seremban: Dua penggali kubur dari Batang Benar, Nilai meletakkan harapan tinggi mahu 'menawan' Malaysia dengan kayuhan sejauh hampir 5,000 kilometer bermula pada Hari Sukan Negara, Sabtu lalu.

Jailani Ahmad Zawawi, 33 dan Mohamed Naguib Farhan Malek, 33, melakukan misi itu sebagai persiapan untuk melakukan kayuhan ke negara tuan rumah Piala Asia 2023 bagi menyaksikan kejohanan bola sepak itu.

Jailani berkata, mereka bermula di Kuching kemudian menghala ke Serian dan akan Sibu, Bintulu, Miri, memasuki negara Brunei seterusnya ke Limbang.

"Kami kemudiannya akan menyambung kayuhan ke Lawas, Labuan, Kota Kinabalu, Tuaran, Kundasang, Ranau, Sandakan, Semporna dan berakhir di Tawau dengan jumlah jarak keseluruhan kira-kira 2,500 kilometer.

"Selesai di Sabah, kami bertolak ke semenanjung dan bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke utara termasuk Pulau Langkawi. Ia diikuti ke negeri pantai timur dan terus ke selatan sebelum menamatkan kayuhan di Nilai dengan jarak keseluruhan sejauh 2,300 kilometer," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, selain misi persiapan ke Piala Asia, mereka juga akan berhenti bermalam di surau atau masjid di kawasan yang dilalui bagi mengimarahkan rumah ibadat berkenaan malah turut menginfaqkan wangian solat.

"Kami mensasarkan untuk menghabiskan kayuhan dalam tempoh dua bulan dan memilih untuk bermalam di masjid dan surau atau memasang khemah di lokasi bersesuaian bagi menjimatkan kos.

"Kami juga bersyukur kerana mendapat tajaan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjayakan misi ini. Malah, keluarga juga merestui misi ini dan memberikan sokongan.

"Sasaran kami adalah melakukan kayuhan antara 50 kilometer ke 60 kilometer sehari, namun bergantung kepada keadaan cuaca," katanya kini yang sudah tiba di Serian.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, memandangkan mereka berdua masih bujang, dua sahabat baik itu mahu mengenali adat dan budaya tempat orang terutama di Borneo dan jika ada jodoh, mahu mencari pasangan hidup.

"Aktiviti berbasikal ini memang hobi kami dan kayuhan paling jauh setakat ini yang kami pernah buat ialah dari Nilai ke Perak, beberapa tahun lalu.

"Diharapkan orang ramai yang ternampak kami yang sedang berkayuh di jalanan dapat memberikan sokongan. Kami juga tidak menolak sekiranya ada komuniti atau individu yang mahu menjemput kami untuk bermalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 4:39 PM