Zanariah Abd Mutalib

Kuala Lumpur: Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diratifikasi Malaysia pada Jumaat lalu dianggap selesai dan akan mula berkuatkuasa pada 29 November ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Malaysia adalah negara kesembilan yang meratifikasi perjanjian berkenaan.

"Hasil Kajian Analisis Kos-Faedah (CBA) menunjukkan bahawa manfaat yang bakal dinikmati Malaysia menerusi penguatkuasaan CPTPP jelas mengatasi sebarang kos yang mungkin timbul.

"Segala pindaan undang-undang berkaitan dengan Perjanjian CPTPP sudah selesai," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai status penyertaan Malaysia untuk CPTPP dan kemajuan untuk perjanjian perdagangan bebas lain.

Mengenai perdagangan bebas lain, Mohamed Azmin memaklumkan, Malaysia dan Turkiye memeterai Protokol Perluasan Skop bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA) pada 29 September lalu, merangkumi tiga bab baharu, iaitu Perdagangan Sektor Perkhidmatan, Pelaburan dan e-Dagang.

Selain itu, pada Julai lalu, Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat 'stocktaking' pada pertengahan bulan ini bagi menentukan hala tuju rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang tertangguh sejak 2012, berikutan kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai kesepakatan bagi isu sensitif.

AZMIN Ali berucap pada Majlis makan malam bersama pengerusi Perikatan Nasional dan Penyerahan watikah ketua badan perhubungan kawasan di Glenmarie Hotel and Resort, Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
AZMIN Ali berucap pada Majlis makan malam bersama pengerusi Perikatan Nasional dan Penyerahan watikah ketua badan perhubungan kawasan di Glenmarie Hotel and Resort, Shah Alam. FOTO Genes Gulitah

"Malaysia juga terbabit secara aktif dalam rundingan menaik taraf FTA serantau sedia ada bagi Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN atau ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA).

"Nilai tambah yang dirunding dalam perjanjian ini dijangka akan memberi manfaat tambahan kepada komuniti perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Proses naik taraf ini juga bertujuan memastikan perjanjian ini kekal relevan dan mampu menangani cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu," katanya.

Menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH- Bagan) mengenai sejauh mana CPTPP akan dilaksanakan kerana ia akan memerlukan mandat kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin kerajaan yang dibentuk kelak akan bertanggungjawab kepada negara dan rakyat.

"Saya yakin kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU ini adalah kerajaan PN, jadi kita teruskan usaha ini," katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN).

Katanya, walaupun indikator ekonomi semakin baik, namun ia masih memerlukan sedikit masa supaya proses pemulihan benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat.

"Disebabkan itu, saya minta supaya usaha membubarkan Parlimen ini tidak dijalankan sekarang.

"Bagaimanapun, jika pilihan raya diadakan dan Parlimen dibubarkan, saya percaya ini adalah perjanjian yang memberikan manfaat kepada negara dan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 1:47 PM