Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Bagi saya di Sembrong, kepimpinan di Mindef (Kementerian Pertahanan) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kalau bubar (Parlimen) esok pun kita 'ready' (bersedia)," kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi mengenai kemungkinan pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksana dalam masa terdekat.

Di sebalik kesediaan itu, beliau bagaimanapun berkata, keputusan berhubung perkara berkenaan akan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan perlu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kita sentiasa siap siaga dalam apa jua kemungkinan. Kita dah lalui segalanya kerana kita pernah kalah dalam PRU yang dahulu, suka atau tidak, kita 'move on' kerana lima tahun lalu kita kalah tapi sekarang menerajui kerajaan.

"Ia bukan perkara baharu, yang penting janji kepada rakyat dilaksanakan. Pada saya sebagai Menteri Kanan Pertahanan, apa dijanjikan kepada anggota dan warga Mindef, saya akan tunaikan sehingga tidak lagi diberi tanggungjawab, masa itu suruh pindah, saya akan pindah," katanya.

Hishammuddin ditemui selepas Lawatan Kerja ke Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau meletakkan keyakinan penuh bahawa Umno bersedia untuk menghadapi PRU15.

Katanya, presiden parti dan perdana menteri berada dalam barisan sama yang dapat menentukan kesediaan Umno untuk berhadapan pilihan raya.

"Yang penting sekarang kita jaga kawasan masing-masing untuk memastikan apabila dibubar nanti, siapa saja dicalonkan untuk mewakili parti dalam PRU ini bersungguh-sungguh dan bekerjasama rapat," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong turut mengesahkan akan bertanding bagi mempertahankan kerusi parlimennya pada PRU15 nanti.

HISHAMMUDDIN melawat pameran statik persenjataan dan peralatan khas ketika lawatan kerja Menteri Kanan Pertahanan di Kem Perdana Sungai Besi. FOTO Aswadi Alias.
HISHAMMUDDIN melawat pameran statik persenjataan dan peralatan khas ketika lawatan kerja Menteri Kanan Pertahanan di Kem Perdana Sungai Besi. FOTO Aswadi Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 4:03 PM