Asrol Awang

Kuantan: Sejumlah 4,401,934 batang rokok tidak bercukai bernilai RM2.81 juta yang dirampas Polis Pahang dalam tempoh 2015 hingga September lalu dilupuskan, hari ini.

Pelupusan dadah bernilai RM420,724 yang dirampas dari 2016 hingga tahun lalu pula akan dilaksana esok.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, rokok diseludup itu membabitkan kes di Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut dan Cameron Highlands, dengan pelupusan dilaksana selepas menerima perintah mahkamah dan kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Berdasarkan operasi dan tangkapan kes rokok seludup bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu, sebanyak 25 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 membabitkan tangkapan 36 individu.

"Hasil tindakan itu, sejumlah RM292,224 jumlah nilai kerugian cukai negara berjaya diselamatkan," katanya ditemui selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Ramli berkata, dadah yang dilupuskan ialah heroin, syabu, methamphetamine, ketamin, air ketum dan daun ketum yang dirampas dari 10 daerah sejak 2016.

"Pelupusan ini dijadual akan dilaksanakan oleh kontraktor bertauliah dan profesional di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, pada jam 12 tengahari, esok," katanya

Menurutnya, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu, jumlah nilai rampasan dadah dianggar RM31.3 juta.

RAMLI menunjukkan barang kes yang akan dilupuskan. FOTO Farizul Hafiz Awang.
RAMLI menunjukkan barang kes yang akan dilupuskan. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 7:24 PM