APLIKASI MySejahtera. FOTO arkib NSTP
APLIKASI MySejahtera. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Aplikasi MySejahtera akan dijadikan platform digital kesihatan awam negara berikutan transisi peralihan negara daripada pandemik Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mahu aplikasi itu dijadikan alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.

PAC hari ini membentangkan Laporan Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen.

Antara syor PAC adalah kerajaan harus memastikan pemilikan penuh kerajaan dalam aplikasi MySejahtera serta memberikan jaminan bahawa data dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat dan tidak akan disalahguna.

"Apabila MySejahtera dipindahkan ke KKM dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita pastikan soal pemilikan data adalah selamat dan MySejahtera boleh digunakan sebagai platform kesihatan awam," kata Khairy dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan KKM di sini hari ini.

MySejahtera dibangunkan untuk membantu dalam pengawasan penularan pandemik Covid-19 dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. Kini, aplikasi itu dikemas kini dengan ciri baharu antaranya kad penderma darah serta orang ramai boleh mengikrarkan diri sebagai penderma organ.

Khairy berkata beliau mahu memastikan isu-isu berbangkit berkaitan aplikasi MySejahtera diselesaikan "sebelum meninggalkan KKM."

"Rumusan (PAC) adalah paling penting kerajaan harus memiliki aplikasi (MySejahtera) sepenuhnya dan memang itu yang kita telahpun buat terutama dengan yang kontrak bakal ditandatangani. (Dengan itu), tiada lagi keraguan soal pemilikan aplikasi dan juga data, semuanya dimiliki oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 2:30 PM