MYSEJAHTERA adalah aplikasi yang dibangunkan untuk membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 dalam negara. FOTO Arkib NSTP
MYSEJAHTERA adalah aplikasi yang dibangunkan untuk membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 dalam negara. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menandatangani kontrak untuk memiliki sepenuhnya aplikasi MySejahtera selaras dengan saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, berikutan itu tiada lagi keraguan soal pemilikan aplikasi berkenaan serta data tidak selamat.

"KKM sudah berusaha untuk memindahkan MySejahtera daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada kementerian ini, jadi soal pemilikan atau keselamatan data sudah selesai.

"Saya sudah pastikan semua perkara itu dapat diselesaikan sebelum saya tinggalkan kementerian ini," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan KKM, hari ini.

PAC hari ini membentangkan Laporan Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah KKM, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen.

Antara syor PAC adalah kerajaan harus memastikan pemilikan penuh kerajaan dalam aplikasi MySejahtera serta memberikan jaminan bahawa data dalam aplikasi itu adalah selamat dan tidak disalahguna.

MySejahtera adalah aplikasi yang dibangunkan untuk membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Mengulas mengenai syor keempat yang dibentangkan oleh PAC mengenai bahawa MySejahtera dijadikan sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara, Khairy berkata, perkara itu juga sedang dilakukan oleh pihaknya.

"Apabila MySejahtera itu sudah dipindahkan kepada kita dan memastikan data di dalam aplikasi itu selamat, kita akan pastikan MySejahtera itu boleh digunakan sebagai platform kesihatan awam.

"Sejak beberapa bulan lalu, pelbagai ciri kita sudah tambah membabitkan perkara bukan Covid-19 seperti ciri derma darah dan saringan kesihatan," katanya.

Aplikasi itu dikemas kini dengan ciri-ciri baharu antaranya kad penderma darah selain membolehkan orang ramai mengikrarkan diri sebagai penderma organ.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 2:13 PM