GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Bangi: Majlis Profesor Negara menganggap Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini disifatkan sebagai bajet 'Keluarga Malaysia'.

Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara Prof Dr Kamarudin M Said berkata, ia selari dengan tema kesejahteraan yang ditonjolkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, beliau beranggapan demikian ekoran pengumuman terhadap bajet akan dibuat semasa ura-ura mengatakan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat.

"Saya ini bukanlah orang ekonomi, tetapi saya rasa bajet yang akan dibentang nanti adalah bajet Keluarga Malaysia.

"Saya tengok ia boleh juga dikatakan sebagai bajet manifesto partilah. Tetapi, kita tak tahu parti mana," katanya ketika memberikan pandangan pada Perbincangan Khas Pra Bajet 2023 di Majlis Profesor Negara, di sini, hari ini.

Kamarudin yang juga Pengarah Bahagian Penyelidikan Majlis Profesor Negara berkata, beliau melihat belanjawan yang akan diumumkan adalah satu bajet yang inklusif meskipun, ia boleh dikatakan sebagai bajet manifesto.

Menurutnya, sungguhpun ia bajet untuk kesejahteraan rakyat dari segi ekonomi yang boleh diguna pakai namun dari segi lenggoknya ia satu manifesto yang hendak disajikan kepada rakyat.

Sementara itu dalam perbincangan berkenaan, pakar ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai yang turut hadir berkata beliau mengakui sebenarnya tidak seronok berbincang mengenai bajet kali ini.

"Sebab kalaulah betul Parlimen akan dibubarkan pada 12 Oktober ini, perbincangan hari ini akademik lah. Tak ada makna. Apa yang kita akan bincangkan ini adalah bincang kosong di kedai kopi.

"Selepas ini (jika Parlimen bubar), belanjawan baru akan dibentangkan pula apabila kerajaan baru ditubuhkan. Jadi apa yang kita nak bincangkan ini? Jadi saya berdoalah supaya adalah orang yang sensible di atas itu (di Parlimen) untuk memikirkan bahawa kita perlu meluluskan belanjawan ini sebelum bubarkan Parlimen. Kalau tidak, kita bercakap kosong," katanya.

Beliau berkata, pembentangan bajet itu hanya akan menjadi satu pengumuman kosong kerana tidak dapat dibahaskan oleh ahli Parlimen sekiranya PRU15 diadakan sejurus pembentangannya dibuat beberapa hari sebelum itu di Dewan Rakyat.

Ini kerana katanya, pembentangan dibuat didebatkan terlebih dahulu di Dewan Rakyat oleh ahli Parlimen dan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan sebelum diluluskan.

"Sepatutnya belanjawan itu diluluskan dahulu baru dibubarkan Parlimen kerana ia akan terus dilaksanakan oleh pelaksana dasar iaitu kakitangan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 12:39 PM