YUNUS Sujak menunjukkan gambar mangsa lemas, Masrul Adam Iqwan Masri seronok ketika bermandi-manda di Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
YUNUS Sujak menunjukkan gambar mangsa lemas, Masrul Adam Iqwan Masri seronok ketika bermandi-manda di Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: "Saya tak dengar suara, hanya nampak tangannya melambai sebelum perlahan-lahan tenggelam ke dasar sungai," kata Yunus Sujak, 60, saksi kejadian pelajar madrasah lemas di Hutan Lipur Lubuk Semilang di sini, hari ini.

Masrul Adam Iqwan Masri, 15, ditemukan lemas oleh pasukan penyelamat pada jam 11.40 pagi, selepas dia tergelincir dan jatuh ke dalam sungai pada jam 9.55 pagi.

Yunus berkata, sebelum tragedi itu, dia bersama tujuh rakan jemaah tabligh lain sedang mandi di sungai berkenaan.

"Arwah (Masrul) mandi di bahagian atas yang airnya lebih cetek, manakala beberapa rakan lain turut mandi di bahagian bawah yang lebih dalam.

"Selepas nampak arwah dibawa arus, ada rakan cuba selamatkan tapi tidak berjaya," katanya ketika ditemui Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini.

Yunus berkata, dia serta tujuh rakan yang lain termasuk arwah Masrul Adam Iqwan berada di pulau ini sejak sebulan lalu dalam aktiviti jemaah tabligh.

"Kami semua adalah jemaah (tabligh) dari Banting, Selangor dan dijangka pulang ke kampung halaman pada Khamis ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, mengesahkan mayat mangsa ditemukan lemas pada 11.40 pagi.

"Mayat mangsa ditemukan di dasar sungai oleh pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi dan dirujuk ke Unit Forensik HSM untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 3:52 PM