GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Harga minyak masak tulen kemasan botol lima kilogram (kg) turun RM2 kepada RM31.50 berbanding RM33.50 bermula 8 Oktober hingga 7 November ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga baharu itu ditetapkan susulan harga purata minyak sawit mentah yang merekodkan penurunan.

Selain itu, katanya, harga baharu minyak masak tulen kemasan botol 3kg turun kepada RM19.90 daripada RM21.10; botol 2kg (RM13.50 daripada RM14.30); dan botol 1kg (RM7.10 daripada RM7.50).

"Diharapkan penetapan harga baharu ini berupaya memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau turut menyeru pengguna untuk menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan secara rasmi sebarang pelanggaran undang-undang melalui saluran disediakan.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 3:35 PM