PASANGAN suami isteri yang ditahan dipercayai mendalangi aktiviti pelacuran di sebuah hotel bajet di Masai.
PASANGAN suami isteri yang ditahan dipercayai mendalangi aktiviti pelacuran di sebuah hotel bajet di Masai.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Sindiket pelacuran dipercayai didalangi sepasang suami isteri sejak lebih sebulan lalu ditumpaskan polis dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Masai di sini, pada 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, wanita berusia 48 tahun dan suaminya seorang warga emas berusia 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan aktiviti pelacuran yang dipercayai dijalankan sejak akhir Ogos lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan, polis turut menahan enam wanita warga asing berusia antara 33 hingga 54 tahun dipercayai menawarkan perkhidmatan seks selain enam lelaki termasuk warga asing dan tempatan berusia 33 hingga 55 tahun dipercayai pelanggan.

Menurutnya, bagi mengaburi pihak berkuasa, aktiviti pelacuran berkenaan dijalankan pada waktu tengah hari sehingga petang di hotel bajet itu.

Katanya, setiap pelanggan dikenakan bayaran RM50 hingga RM130 setiap kali mendapatkan perkhidmatan di situ.

"Pasangan suami isteri dipercayai mendalangi aktiviti berkenaan ditahan dan semakan mendapati pasangan itu tiada rekod jenayah lampau.

"Polis juga merampas kondom, losyen, tuala, tisu, buku daftar masuk serta resit dan wang tunai RM978," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, siasatan dijalankan mengikut 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan dan memperuntukkan penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Beliau berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Akta 373 Kanun Keseksaan kerana urus rumah persundalan yang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Menurutnya polis juga menjalankan siasatan mengikuti Akta Imigresen 61(c) kerana tiada dokumen pengenalan diri sah berikutan lima daripada enam wanita yang ditahan selain seorang pelanggan didapati tiada dokumen perjalanan sah.

"Kesemua individu ditahan reman selama empat hari sejak hari ini bagi membantu siasatan.

"Kami tidak menolak kemungkinan desakan hidup selain faktor lain menjadi punca kewujudan aktiviti seumpama itu," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, mulai awal tahun hingga akhir September lalu, pihaknya menjalankan lapan serbuan berkaitan kegiatan pelacuran.

"Bagi tempoh berkenaan seramai 33 individu ditahan termasuk 28 wanita yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dan lima pelanggan selain polis turut merampas wang tunai RM10,800.

"Malah sebanyak 33 serbuan membabitkan pusat hiburan dijalankan dan seramai 80 individu ditahan bagi membantu siasatan serta rampasan wang tunai RM8,700.

"Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen hiburan awam membabitkan 29 kes manakala empat kes membabitkan kesalahan beroperasi melebihi masa," katanya ketika ditemui hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 3:08 PM