KPDNHEP Terengganu, membuat serbuan mengejut di Karnival Siam Festival Kuala Terengganu 2022 di kawasan Pantai Batu Buruk. FOTO ihsan KPDNHEP
KPDNHEP Terengganu, membuat serbuan mengejut di Karnival Siam Festival Kuala Terengganu 2022 di kawasan Pantai Batu Buruk. FOTO ihsan KPDNHEP
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Empat premis jualan makanan yang gagal mempamerkan tanda harga diambil tindakan dalam pemeriksaan mengejut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu di Karnival Siam Festival Kuala Terengganu 2022 di kawasan Pantai Batu Buruk di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Terengganu Nor Azmi Lamisza berkata, pemeriksaan membabitkan lapan pegawai penguat kuasa KPDNHEP.

Menurutnya, empat premis jualan makanan itu didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 2 (1)Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga BagiBarangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.

"Tindakan kes mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sudah diambil dan kompaun keseluruhan sebanyak RM1,200 dikeluarkan ke ata sempat premis gerai terbabit di atas kegagalan mematuhi akta yang dikuatkuasakan.

"Sebelum ini, beberapa anggota penguat kuasa KPDNHEP sudah ke lokasi yang sama dan menasihatkan peniaga agar meletakkan tanda harga pada setiap barangan jualan mereka.

"Namun, dalam pemeriksaan itu masih ada yang berdegil dengan tidak mempamerkan tanda harga seperti yang diarahkan sebelum ini," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, menurutnya, KPDNHEP menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa peka mengenai hak-hak sebagai seorang pengguna sebelum membuat sesuatu pembelian supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah.

Katanya, pengguna boleh membuat pilihan untuk tidak membeli sekiranya didapati sesuatu barangan itu ditawarkan dengan harga yang tinggi atau tidak munasabah.

Menurutnya, sekiranya pembelian tetap dilakukan, tindakan ini sebenarnya mendorong peniaga yang tidak beretika untuk terus mengambil keuntungan yang tinggi melalui jualan mereka dan amalan itu akan berterusan.

"Justeru, pihak peniaga juga digesa untuk sentiasa mematuhi arahan yang sedang berkuat kuasa dan mempamerkan tanda harga pada barangan yang diniagakan supaya tidak berlaku kekeliruan terhadap pengguna yang mahu mendapatkan barangan di gerai-gerai mereka.

"KPDNHEP juga mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.

Menurutnya, aduan boleh dibuat melalui portal [email protected], talian Hotline KPDNHEP 1800-886-800, E-mel [email protected], Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) di 03-8882 6245/6088.

Selain itu, katanya, kaedah lain untuk membuat aduan iaitu melalui WhatsApp ke 019-2794317/019-848 8000, Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu dan lapor atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 2:13 PM