- Foto hiasan
- Foto hiasan
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Nilai kerugian membabitkan jenayah siber mencecah lebih RM2 bilion untuk tempoh empat tahun bermula 2019 hingga Julai lalu.

Ini membabitkan pelbagai bentuk jenayah siber seperti pembelian secara dalam talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, Macau scam, African scam, penipuan SMS dan bermacam lagi.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia Mohd Afiq Salim, melihat ancaman siber ini semakin membimbangkan kerana ia membabitkan nilai kerugian tinggi.

"Dalam tempoh empat tahun itu, kita melihat bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 33,147 individu dengan 22,196 sudah dituduh di mahkamah atas pelbagai.

"Jika kita lihat semula statistik jumlah kerugian yang dikeluarkan oleh PDRM, sebanyak 13,703 kes direkodkan pada 2019 membabitkan RM539 juta.

"Angka itu menurun sedikit pada 2020 dengan jumlah kerugian RM511.2 juta namun ia mencatatkan peningkatan bilangan kes iaitu 17,227.

"Jumlahnya meningkat pada 2021 dengan 20,701 kes dengan jumlah kerugian RM560.8 juta. Untuk Januari hingga Julai tahun ini, jumlah kerugian sudah merekodkan RM414.8 juta," katanya.

Mohd Afiq berkata, apabila pihaknya meneliti beberapa kes yang dirujuk kepada persatuan, ia memperlihatkan bahawa kebanyakan jenayah ini banyak berlaku menerusi platform Telegram.

Beliau berkata, ada pengadu yang terpedaya dengan pelbagai skim pelaburan tidak wujud dan apabila ditanya berhubung sumber maklumat diperoleh, mereka akan menyatakan ia diperoleh melalui aplikasi Telegram.

"Kita semua tahu bahawa sistem mesej yang digunakan oleh Telegram adalah menggunakan identiti pengguna (ID) tanpa mendedahkan nombor telefon dan difahamkan, ia sebahagian daripada polisi privasi pengendali platform berkenaan.

"Akibatnya, ia sangat menyukarkan pihak berkuasa untuk menjejaki dalang di sebalik ID berkenaan walaupun ia tidak mustahil, namun sukar dan melambatkan proses tindakan perundangan," katanya.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan melihat semula terma terhadap penggunaan platform berkenaan kerana ada negara yang mengambil tindakan dengan mengharamkan aplikasi itu di negara mereka.

"Secara asasnya, kita tidak mahu menyekat sebarang penyebaran bentuk teknologi, namun perlu juga kita fikirkan kesan besar terhadap perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 7:01 AM