Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia memohon untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM156,500, sebuah kereta dan juga hartanah daripada bekas pengarah eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Casey Tang Keng Chee.

Wang tunai berjumlah RM156,500 itu terdiri daripada baki akaun simpanan dan semasa Casey Tang di empat bank iaitu RM89,300 di Maybank Islamic Berhad; RM13,000 di CIMB Bank Berhad; RM600 di RHB Bank Berhad; dan RM53,600 di AmBank Berhad.

Kenderaan itu pula ialah Subaru XV2.01 yang dirampas pada Januari 2021, dan kerajaan juga sedang berusaha untuk merampas sebuah banglo di Bandar Kinrara dan sebuah lot kedai di Bandar Puchong Jaya.

Kerajaan memfailkan saman pelucutan hak terhadap Casey Tang pada November 2021, mengikut Subseksyen 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Casey Tang disenaraikan sebagai orang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia dan lokasinya ketika ini tidak diketahui.

Notis dalam warta itu dikeluarkan pada 1 Ogos lalu, yang mempelawa mana-mana pihak ketiga untuk hadir sendiri atau diwakili peguam bagi mencabar tindakan pelucutan hak sebelum perbicaraan.

Ini bagi membolehkan pihak ketiga mengemukakan tunjuk sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucut hak oleh kerajaan.

Apabila perkara itu dikemukakan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini, timbalan pendakwa raya Noor Zalizan Lazarous memaklumkan kepada mahkamah bahawa responden (Casey Tang) tidak diwakili.

Pada ketika ini peguam Muhamad Al-Muazzim Azmi Amin berdiri dan berkata bahawa anak guamnya iaitu, Maybank Islamic, sedang berusaha untuk menuntut sebahagian daripada aset yang disasarkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Okt ini untuk sebutan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 3:57 PM