GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Impian seorang lelaki untuk memiliki bar jongkong emas yang dibeli melalui sebuah laman web musnah apabila emas bernilai lebih RM10,000 itu didapati 'ghaib' ketika berada di sebuah syarikat penghantaran, di sini bulan lalu.

Berikutan itu, mangsa yang berusia 33 tahun dan bekerja sebagai juruteknik membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu Ahad lalu kerana curiga dan mengesyaki ia dicuri ketika dalam simpanan di premis terbabit.

Menurut sumber, mangsa yang menetap di Pulau Pinang memberitahu dia pada mulanya melayari laman web sebuah syarikat untuk membuat pembelian emas ketika berada di rumahnya pada 8 Ogos lalu.

"Mangsa kemudian mendakwa dia berurusan dengan kakitangan wanita syarikat terbabit sebelum bersetuju membeli barn emas seberat 40 gram (g) berharga RM10,570.

"Selepas segala proses selesai, mangsa membuat pembayaran keesokan harinya melalui transaksi ke akaun bank yang didaftar di atas nama sebuah syarikat," katanya.

Sumber berkata, kakitangan wanita syarikat terbabit yang berurusan dengan mangsa sepanjang proses pembelian itu kemudian memberikan 'tracking number' untuk memudahkan lelaki itu membuat semakan ketika kepingan emas itu dihantar melalui kiriman kurier.

"Mangsa membuat semakan pada 13 Ogos lalu dan mendapati barang dibelinya sudah tiba di pejabat syarikat penghantaran terbabit.

"Bagaimanapun, dia yang mahu mengambil barang dibelinya dimaklumkan yang ia tiada dalam simpanan di situ membuatkan mangsa tidak berpuashati dengan kejadian itu," katanya.

Katanya, mangsa bagaimanapun memberi peluang kepada kakitangan syarikat penghantaran terbabit untuk mencari barang miliknya itu namun dia kecewa apabila menerima jawapan sama daripada pekerja yang memaklumkan ia tiada dalam simpanan mereka dan gagal ditemui.

"Selepas lebih sebulan bersabar mangsa akhirnya membuat satu laporan polis kerana mengesyaki barang miliknya itu kemungkinan dicuri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:45 PM