GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur cubaan culik terhadap murid sekolah seperti yang dilaporkan berlaku di tiga sekolah rendah dalam daerah Gombak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima tiga laporan dibuat dua wanita dan seorang lelaki berusia 32 hingga 43 tahun pada kelmarin serta semalam.

Menurutnya, pengadu diberitahu oleh anak masing-masing yang berusia tujuh serta sembilan tahun mendakwa cuba diculik lelaki tidak dikenali semasa berada di luar sekolah.

"Hasil siasatan terperinci dijalankan mendapati ketiga-tiga kejadian berlaku di hadapan sekolah selepas waktu persekolahan yang mana keadaan pada ketika itu dipenuhi bas sekolah dan kenderaan ibu bapa yang mahu mengambil anak masing-masing.

"Polis mengambil tindakan sewajarnya dengan mengenal pasti saksi penting membabitkan beberapa individu termasuk pengadu, rakan sekolah mangsa, pengawal keselamatan, warden lalu lintas, guru besar serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah sekolah agama.

"Kesemua saksi mengesahkan tiada sebarang perlakuan kejadian seperti mana dilaporkan. Saksi itu turut berada di lokasi pada masa didakwa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menasihati orang ramai dan media supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Selain itu, katanya, orang ramai juga dinasihatkan tidak terpengaruh dan menyebarkan berita palsu kerana tindakan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 5:39 PM