GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis mengesan satu posting yang dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook (FB) milik 'Nur Arina Natasha' yang tular berkaitan cubaan culik kanak-kanak di kawasan Kampung Paya, Port Dickson, di sini, sejak semalam

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, setakat ini, polis mengesahkan tidak ada menerima sebarang laporan berkaitan kejadian.

"Semakan sudah dibuat ke atas kereta jenis Proton Saga warna coklat nombor pendaftaran WXQ 6546 seperti yang dimuatnaik oleh pemilik akaun FB terbabit.

"Semakan polis mendapati, pemilik kenderaan itu adalah seorang perempuan Melayu berusia 60 tahun dan kenderaan itu diberi sewa kepada seorang lelaki Melayu berusia 27 tahun," katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Katanya, kereta itu juga dikesan berada di Melaka dan penyewa tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Siasatan lanjut polis juga mendapati kenderaan yang dimaksudkan tidak membuat sebarang pergerakan di daerah Port Dickson sebagaimana yang dimuatnaik oleh pemilik akaun FB itu.

"Semakan semula ke atas pemilik akaun FB 'Nur Arina Natasha' juga didapati posting itu juga sudah dipadamkan," ujarnya.

Aidi Sham berkata, polis menasihatkan orang ramai berhati-hati sebelum berkongsi atau memuatnaik sebarang berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 5:14 PM