Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seramai 308 individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Op Tapis Khas bermula 26 September hingga 12 tengah malam tadi.

Pelbagai jenis dadah dianggar bernilai lebih RM40,000 turut dirampas dalam operasi tiga hari di seluruh negeri ini,

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya memberi tumpuan di beberapa lokasi panas seperti jeti nelayan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), 'port' penagih dan kawasan Felda.

Katanya, operasi itu bertujuan mengambil tindakan ke atas semua aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan panas itu.

"Dalam tempoh operasi, seramai 410 diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 308 ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

"Mereka ditahan termasuk 54 bagi kes bekalan, 47 kerana memiliki dadah dan 207 penagih dadah," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara yang ditahan juga antaranya 30 orang yang akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala terdapat 23 tokan diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Seramai 52 orang dikehendaki (wanted person) juga ditahan," katanya.

Menurut Kamarul Zaman, polis merampas heroin seberat 924.26 gram, syabu seberat 122.31 gram, 13.10 gram ganja, 12 biji pil eramin 5, tiga biji pil yaba, 1.67 gram pil psikotropik, 407 biji pil ekstasi, 140 gram serbuk ekstasi dan 2.65 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM40,903.50.

"Bekalan dadah ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai 5,711 penagih dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 4:26 PM