FOTO tular
FOTO tular
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Serdang: Seorang lelaki warga asing yang bertutur dialek yang sukar difahami dikesan memukau peniaga di daerah ini.

Terbaru, suspek dikatakan menggunakan pukau terhadap seorang pekerja klinik haiwan di Seri Kembangan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, suspek datang ke klinik berkenaan untuk membeli makanan kucing jam 5.48 petang.

Beliau berkata, suspek yang memakai pelitup muka mengambil makanan kucing yang berharga RM11.

Katanya, ketika membuat pembayaran di kaunter suspek memberikan wang kertas RM100.

" Pengadu seolah kena pukau dan memberikan semula baki kepada suspek dengan tunai RM 100.

"Sebaik suspek beredar, pengadu sedar lelaki itu gagal membuat pembayaran makanan kucing RM 11 malah sudah melarikan diri dengan wang tunai RM100," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semakan laporan polis mendapati tiada lagi kes menggunakan modus operandi seumpama kes ini dilaporkan di daerah ini.

Beliau berkata, individu lain yang menjadi mangsa suspek disarankan untuk membuat laporan di balai polis terdekat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan suspek kini giat dikesan polis," katanya.

Sebelum ini, tular di laman sosial seorang lelaki bertutur menggunakan bahasa yang sukar difahami sebelum melarikan diri bersama wang tunai dan makanan haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 9:25 PM