Juwan Riduan


Tenom: "Pengadu memberitahu dia takut membuat laporan polis di Balai Polis Tenom disebabkan ada saudaranya yang bertugas di balai berkenaan.

"Saya tahu kerana pengadu (identiti tidak boleh didedahkan) memberitahu yang Tenom ini sebuah daerah kecil dan ramai orang boleh tahu kalau dia buat 'report' (laporan).

Laporan di Bukit Aman bertujuan untuk keselamatannya," kata pakar motivasi yang juga saksi pertama pendakwaan, Mohd Fairuz Abu dalam perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom di sini, hari ini.

Mohd Fairuz berkata demikian ketika menjawab pemeriksaan balas peguam Kamarudin Mohmad Chinki yang mewakili Ebit berhubung tindakan pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Aman.

Sementara itu, Mohd Fairuz tidak bersetuju ketika dicadangkan oleh Kamarudin bahawa alasan diberikan pengadu bermaksud semua balai polis di Sabah adalah kecil dan semua orang boleh tahu sekiranya pengadu membuat laporan.

Dia juga tidak bersetuju dengan cadangan Kamarudin bahawa pengadu membuat laporan polis di Bukit Aman adalah disebabkan mahu berjumpa dengannya untuk berbincang sebelum laporan polis dibuat.

Bagaimanapun, Fairuz bersetuju dengan Kamarudin yang dia ada berjumpa dengan pengadu pada 7 Ogos tahun lalu ketika individu itu membuat laporan polis di Bukit Aman.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung esok.

Difahamkan beberapa lagi saksi termasuk pendakwah Firdaus Wong Abdullah dan pengadu sendiri dijangka memberikan keterangan mereka.

Terdahulu, Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan membabitkan hantaran gambar serta perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

Perbicaraan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan Ebit Liew berlangsung 27 hingga 30 September.

Ebit Lew tiba di Mahkamah Majistret Tenom hari ini. FOTO Juwan Riduan.
Ebit Lew tiba di Mahkamah Majistret Tenom hari ini. FOTO Juwan Riduan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 6:13 PM