GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Alor Setar: Tak padan dengan usia namun nafsunya mengalahkan orang muda.

Itu yang berlaku apabila seorang lelaki warga emas yang juga pemandu e-hailing ditahan selepas didakwa mencabul penuntut wanita dalam kenderaan yang di parkir berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini, Sabtu lalu.

Kejadian berlaku jam 9.30 pagi ketika mangsa yang berusia 20 tahun dan menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi itu dikatakan baru tiba dari Pulau Pinang sebelum dia menempah kenderaan e-hailing terbabit.

Menurut sumber, ketika berada dalam kenderaan itu, suspek secara tiba-tiba mencabul mangsa.

"Lelaki terbabit turut meminta mangsa melakukan perbuatan jijik namun mangsa enggan.

"Lelaki itu juga memasang video lucah dan memberitahu mangsa yang dia kerap melakukan perbuatan seumpama itu dengan penumpang lain termasuk kanak-kanak," katanya.

Sumber berkata, mangsa yang ketakutan serta tidak tahan dengan kelakuan pemandu e-hailing berkenaan terus keluar daripada kenderaan terbabit dan beredar.

"Mangsa yang tidak berpuashati selain bimbang penumpang lain diganggu melaporkan kejadian kepada polis jam 6 petang hari yang sama.

"Susulan itu, polis menahan lelaki berusia 64 tahun itu di rumahnya di Mergong semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 5:33 PM