Al Miah melihat gambar anaknya, Abdul Rafiuddin Abdul Rashid. FOTO ROSLI ILHAM
Al Miah melihat gambar anaknya, Abdul Rafiuddin Abdul Rashid. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Dungun: "Dia selalu pergi bermain bola di situ dan saya tidak sangka dia mandi di sungai," kata Al Miah Nor Ali selepas mayat anaknya Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, ditemukan lemas di Sungai Dungun dekat Kampung Rajawali, di sini, hari ini.

Al Miah, 47, berkata arwah anaknya sebelum itu ada meminta kebenaran untuk pergi bermain bola sepak di kawasan lapang yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

"Dia sering bermain bola bersama rakan-rakannya di kawasan lapang yang terletak berhampiran sungai dan saya sering berpesan kepadanya supaya tidak sesekali mandi di situ (sungai).

"Redah (remuk) hati saya sebaik seorang rakan anak datang ke rumah petang semalam (kelmarin) memaklumkan Rafiuddin lemas," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, di sini.

Katanya, anaknya menunjukkan sikap pendiam sejak kebelakangan berbanding sebelum ini kerana dia memang peramah dan aktif.

"Dia aktif dalam sukan olahraga di sekolah dan suka bergaul dengan murid lain, malah perubahan sikapnya menjadi pendiam turut disedari oleh guru-gurunya.

"Saya sangat terkejut dan tidak sangka dia mandi di situ, namun apa boleh saya lakukan kerana ia sudah ketentuan Ilahi," katanya.

Menurutnya, meskipun sedih dengan kehilangan anak keenam daripada tujuh beradik itu, dia bersyukur kerana jasad anaknya berjaya ditemui.

"Sebelum ke sekolah, dia minta saya menyediakan sarapan. Kebiasaannya dia membawa bekal ke sekolah tapi pagi itu (hari kejadian), dia memberitahu mahu makan di rumah.

"Saya buat sandwich dan dia makan dengan berselera. Saya menjadi sangat sedih apabila teringat itulah makanan kegemarannya yang terakhir dapat disediakan untuk Rafiuddin," katanya.

Katanya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelandang, Pulau Serai, petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 4:20 PM