ANGGOTA polis cedera di tangan selepas ditetak penagih dadah. FOTO Ihsan polis.
ANGGOTA polis cedera di tangan selepas ditetak penagih dadah. FOTO Ihsan polis.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Dua anggota polis cedera di tangan selepas ditetak seorang penagih dadah di sebuah rumah di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36 di sini semalam.

Dalam kejadian pada 3.45 petang itu, Lans Koperal Mohammad Ridzuan Marsudi, 31, parah pada pergelangan tangan kiri, manakala Inspektor Mohd Zulhusni Hassani, 30, cedera di pergelangan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua anggota berkenaan bertugas di bahagian D4 (Risikan / Operasi / Rekod Jenayah ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan sudah menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Bagaimanapun katanya, Mohammad Ridzuan kemudian dirujuk ke Hospital Selayang bagi pembedahan tangannya dan kini dilaporkan stabil.

Katanya, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama lima anggota lagi membuat susulan berhubung kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kes berkenaan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara mengamuk dengan melanggar Honda Accord milik abangnya iaitu seorang pesara guru berusia 53 tahun.

"Suspek yang juga penganggur itu turut bertindak menghempas pasu bunga pada kereta abangnya selain mengejar saudara kandungnya itu dengan sebilah parang.

"Pasukan polis yang tiba di rumah suspek mendapati lelaki itu enggan memberikan kerjasama dengan mengunci rumah, namun Mohd Zulhusni dan pasukan berjaya memasuki rumah itu.

"Suspek kemudian melibas parang ke arah Mohammad Ridzuan menyebabkan mangsa terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Iqbal berkata, tembakan itu terlepas ke udara.

Katanya, suspek terus menyerang menyebabkan mangsa cedera di pergelangan tangan kiri yang mana tiga jari anggota polis itu tidak dapat digerakkan.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, Mohd Zulhusni mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan ketika menahan suspek bersama anggota yang lain.

Katanya, siasatan mendapati suspek tinggal berseorangan di rumah berkenaan manakala abangnya tinggal bersebelahan.

"Hasil ujian kencing mendapati suspek positif Methamphetamine, Amphetamine dan Tetrahydro Cannabinol Hydrocarboxy Lic Acid (THC) serta mempunyai rekod lampau bersabit Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

"Suspek kini direman tiga hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 4:12 PM