Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang peniaga wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima deposit keseluruhan berjumlah RM110,500 tanpa lesen sah, antara Jun hingga Ogos lalu.

Tertuduh, Norsyazwany A Rahim, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut kertas pertuduhan, Norsyazwany yang beralamat di Kampung Landak Hilir, Kupang, Baling didakwa menerima deposit daripada Noorasmidar Kasim, 36, berjumlah RM107,000 tanpa lesen sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Seri Kota, Kuala Kedah, antara 15 Jun hingga 13 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Norsyazwany didakwa menerima deposit daripada Nur Syaza Zuhairah Mat Zuki, 23, berjumlah RM3,500 tanpa lesen sah di sebuah rumah di Taman Semarak, Jalan Bukit Jenun, Pendang pada 7 Julai.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syifa Mohd Hamzah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana dia masih dalam tempoh reman di Penjara Sungai Petani, selepas gagal membayar jaminan bagi kes berasingan di Baling dan Sik, awal bulan lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan kes akan disebut semula pada 27 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:33 PM
Norshazwany dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar bagi dua pertuduhan menerima deposit sebanyak RM110,500 tanpa sah di dua daerah pada Jun hingga Ogos lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Norshazwany dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar bagi dua pertuduhan menerima deposit sebanyak RM110,500 tanpa sah di dua daerah pada Jun hingga Ogos lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI