Halina menyuapkan air kepada Jamsari sambil diperhatikan Mohd Ali di kediamannya di Taman Makmur, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Halina menyuapkan air kepada Jamsari sambil diperhatikan Mohd Ali di kediamannya di Taman Makmur, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Bukan mudah untuk menguruskan pesakit angin ahmar seberat 150 kilogram (kg) yang tidak mampu bergerak.

Namun kasih sayang mengatasi segalanya apabila Halina Omar, 39, sanggup menguruskan suami tercinta, Jamsari M Amat, 41, yang hanya mampu terlantar di katil.

Setiap hari Halina perlu memandikan suami, menyuapkan makanan dan minuman, selain menguruskan suami yang tidak mampu menggerakkan anggota badan sebelah kanan.

Namun segala ranjau itu dilalui Halina dengan tabah kerana dia memahami setiap penyakit adalah ujian Allah SWT.

Halina berkata, suaminya diserang penyakit itu selepas terjatuh dalam bilik air pada jam 5.30 pagi, 23 Ogos lalu di kediaman mereka di Taman Makmur, di sini.

"Saya terdengar dentuman kuat dari dalam bilik air disusuli dengan laungan suami. Saya terkejut apabila mendapati suaminya sudah terlentang.

"Saya dan anak tunggal, Mohd Firdaus berusia 20 tahun tidak mampu mengangkatnya. Kami terpaksa menyeretnya ke ruang tamu sebelum menghubungi abangnya, Zaharan yang tinggal tidak jauh dari taman ini," katanya ketika menerima kunjungan wakil nelayan, Mohd Ali Abu Bakar, 54, bagi menyampaikan sumbangan sekumpulan nelayan kepadanya di sini, tadi.

Berikutan pendarahan beku dalam kepala, Jamsari dirawat di Hospital Melaka hingga 9 September lalu dan hanya mampu terlantar di atas katil biasa.

Keadaan itu menyebabkan Halina dan anaknya menghadapi kesukaran setiap kali ingin menegakkan badan Jamsari untuk menyuap makanan, minuman dan ubat, selain mengelap tubuhnya.

"Alhamdulillah, abang ipar saya membelikan katil mudah laras bagi meringankan tugas saya dan anak menguruskan kehidupan suami," katanya.

Sejak Jamsari terlantar, Halina tidak berpeluang membuka gerai permainan kanak-kanak dan buah-buahan yang sebelum ini dkendalikannya bersama-sama suami di pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini.

Sesiapa yang ingin memberikan sumbangan diminta menghubungi Halina dengan menelefon 013-7911928 atau melalui akaun Maybank Halina (155050246289).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:21 PM