LOKASI mangsa banjir di PPS Sekolah Agama Kayu Ara Pasong, Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
LOKASI mangsa banjir di PPS Sekolah Agama Kayu Ara Pasong, Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
Togi Marzuki

Pontian: Tujuh kampung di mukim Api-Api dan Jeram Batu dilanda banjir akibat hujan selama hampir empat jam sejak awal pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka hari ini pada jam 12 tengah hari tadi bagi menempatkan 57 mangsa banjir daripada 16 keluarga.

Katanya, di Mukim Api-Api seramai 54 mangsa banjir daripada 15 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Agama Kayu Ara Pasong.

"Manakala tiga mangsa daripada satu keluarga di Mukim Jeram Batu ditempatkan di PPS Pusat Kokurikulum Sungai Tempayan, Pekan Nanas.

"54 mangsa banjir adalah penduduk dari enam kampung iaitu Kampung Parit Sapran, Parit Hj Omar, Jalan Mohsin, Parit Hj Sirat, Parit Lapis dan Parit Abd Rahman.

"Di Mukim Jeram Batu pula, tiga mangsa banjir adalah dari Kampung Sungai Mulih, Pekan Nanas.

"Mangsa banjir itu berpindah ke PPS berkenaan berikutan kediamannya dimasuk air yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.

"Pelbagai agensi turut membantu termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 5:19 PM