GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Mamat


Jasin: Bilik Gerakan Khas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) diaktifkan bagi menghadapi kemungkinan banjir pada musim Monsun Timur Laut dijangka November ini.

Timbalan Menteri Mafi, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bilik gerakan itu yang ditubuh di setiap negeri akan memantau cuaca serta perkembangan golongan petani, penternak dan nelayan sekiranya berlaku banjir di satu-satu kawasan.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi mendapatkan laporan terkini bencana terbabit.

"Segala persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan sudah dimulakan lebih awal bagi memastikan golongan petani, penternak dan nelayan sentiasa mendapat pembelaan sekiranya berlaku bencana.

"Insya-Allah, Mafi akan menggerakkan semua aset yang ada untuk membantu golongan terbabit selain pegawai serta anggota jabatan dan agensi Mafi akan sentiasa turun padang bagi memantau keadaan," katanya selepas menghadiri Program Mesra Pahlawan di sini, hari ini.

KETUA Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali (depan, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada bekas anggota polis dan tentera pada Program Mesra Pahlawan sambil diperhatikan Ahmad Hamzah. FOTO Amir Mamat
KETUA Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali (depan, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada bekas anggota polis dan tentera pada Program Mesra Pahlawan sambil diperhatikan Ahmad Hamzah. FOTO Amir Mamat

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, golongan petani, penternak dan nelayan diminta berhubung dengan kakitangan jabatan serta agensi di bawah Mafi sekiranya berhadapan masalah.

Katanya, pihaknya akan sedaya upaya membantu dan mengambil perhatian masalah golongan berkenaan, menggunakan aset serta kemudahan yang ada.

"Ini termasuk menggunakan jentera untuk mengepam keluar air di kawasan bendang serta menyediakan khidmat nasihat serta bantuan kit makanan kepada mangsa," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu lebih 300 bekas anggota polis dan tentera menerima sijil penghargaan dan sumbangan Pejabat Parlimen Jasin sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Hari Angkatan Tentera Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 3:24 PM